KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI MENGENAI CADANGAN PERLAKSANAAN HUDUD DI JOHOR
Saya ingin merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Johor, Dato Ayub Rahmat pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-12 pada bulan Jun yang lalu bahawa beliau mahu Johor menjadi negeri peneraju dalam perlaksanaan hukum hudud di Negara ini.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Ayub di atas keberanian dan keikhlasan beliau menyuarakan hasrat yang dituntut oleh oleh agama itu. Cadangan dan hasrat beliau itu perlu dilihat dari sudut yang positif melangkaui batas-batas politik sempit yang sudah mula menjadi budaya baru politik masa kini.
Hudud adalah sebahagian daripada syariat Islam yang perlu diimani oleh setiap muslim dan perlu dijunjung dan dilaksanakan oleh mereka yang berkuasa. Sesiapa juga yang ingin melaksanakannya wajib disokong dengan apa cara sekalipun. Sesiapa yang menentang bakal tercalar iman dan aqidah mereka.
Secara peribadi saya mempunyai pandangan bahawa hudud dan syariat Islam kesuluruhannya boleh dilaksanakan di setiap negeri dalam negara kita sekiranya ada kemahuan dan pendekatan yang tepat dapat di ambil. Daripada input dan maklum balas yang saya terima daripada mereka yang pakar dalam perlembagaan negara, hudud dan keseluruhan syariat Islam boleh dilaksanakan di negara kita tanpa perlu kepada sebarang pindaan perlembagaan. Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama kepada Persekutuan sebenarnya sudah membenarkan pentafsiran yang lebih luas kepada perlaksanaan hukum-hukum Islam di negara kita termasuk hudud.
Kepada mereka yang bukan beragama Islam, mereka tidak perlu takut dan risau kerana Islam adalah agama yang seadil-adilnya yang sentiasa menjaga hak penganut agama yang lain. Sebarang penentangan terhadap perlaksanaan hukum-hukum Islam ini hanyalah akan mengundang ketegangan antara agama di negara kita.
Justeru itu saya menyeru kepada semua pihak terutamanya kepada dua parti politik Islam terbesar di negara kita iaitu PAS dan UMNO, inilah masanya untuk kita bersatu dan saling bekerjasama atas semangat “Wahdah Islamiyah”. Demi agama dan demi keberlangsungan perlaksanaan hukum-hukum Allah di negara kita, PAS dan UMNO wajib mengenepikan sentimen dan kepentingan politik sempit di samping ketaksuban kepada puak masing-masing untuk duduk berpakat dan mencari jalan keluar secara bersama. Mudah-mudahan atas kesepakatan ini hukum hudud akan benar-benar dapat dilaksanakan di negara kita satu hari nanti.
Sebagai Presiden JATI, saya dan pimpinan pertubuhan ini akan mencadangkan dalam masa yang terdekat satu pendekatan gagasan wehdah yang mungkin boleh diberi nafas baru untuk meneroka kebersediaan seluruh pimpinan masyarakat Islam untuk bersemuka membincang secara serius masa depan umat demi keagungan Islam di Negara kita.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
ADUN GOMBAK SETIA DAN PRESIDEN JATI